Jumaat, 23 Mei 2014

Sambutan Hari Guru [23 Mei 2014]

Pada hari Jumaat, 23 Mei 2014 yang lalu, Sekolah Kebangsaan Sungai Sebatu tekah mengadakan sambutan hari guru peringkat sekolah bersempena dengan Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei 2014. Sambutan tersebut diadakan di kelas Tahun 6 dan padang sekolah.
Semua murid dan guru telah mula berkumpul di kelas Tahun 6 sejak dari pukul 8.00 pagi lagi. Majlis dimulai dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, Cik Khairizuhana. Ini diikuti dengan nyayian lagu Negaraku, lagu “Ibu Pertiwiku” dan lagu sekolah. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan watikah Menteri Pelajaran Malaysia yang disampaikan oleh Encik Raphael Paulus. Seterusnya, Encik Wan Firdaus menyampaikan amanat daripada Ketua Pengarah Pelajaran. Majlis kemudiannya disambung dengan menjemput Tuan Guru Besar, En. Jeffley Jantan ak Kalang untuk menyampaikan ucapan dan amanat beliau. Dalam ucapannya, beliau menyatakan rasa terima kasih dan penghargaan kepada para guru dalam menjayakan misi sekolah dan membentuk murid-murid yang berjaya dari segi sahsiah, emosi, rohani dan jasmani. Beliau juga menasihatkan murid-murid untuk sentiasa mendengar arahan dan menghormati para guru. Ibu bapa juga dinasihatkan untuk terus memberi sokongan kepada para guru. Kemudiannya, En. Nyegang ak Ugoi, selaku Yang Dipertua PIBG telah dijemput bagi menyampaikan ucapan beliau. Beliau menasihatkan murid untuk terus berusaha bagi tidak mensia-siakan usaha keras para guru mereka.
Majlis kemudian digamatkan lagi dengan persembahan nyayian lagu “Kami Guru Malaysia” dan seterusnya bacaan ikrar Hari Guru yang diketuai oleh En. Ziham Zawawi. Murid-murid juga turut sama memeriahkan majlis dengan mempersembahkan beberapa buah lagu dan persembahan tarian. Tepat pukul 10.00 pagi, majlis ditangguhkan dan diteruskan dengan jamuan kecil untuk santapan para guru dan ibu bapa. Majlis disambung semula dengan acara sukaneka yang bermula pada pukul 10.30 pagi. Guru-guru dan murid-murid disarankan untuk berkumpul mengikut kumpulan rumah sukan masing-masing. Pelbagai acara seperti acara gelung bola, bola kangkang, timbang pundi kacang dan “running man” telah dijalankan. Suasana begitu meriah kerana para guru dan murid, masing-masing begitu bersemangat memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing. Acara turut dimeriahkan lagi dengan penglibatan Tuan Guru Besar, En. Jeffley Jantan. Majlis sambutan berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Majlis yang diadakan sebagai tanda penghargaan jasa para guru ini ternyata mendapat reaksi yang positif daripada para hadirin. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak kerana telah dapat menjayakan sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sungai Sebatu bagi sesi 2014 ini.

Gambar sekitar sambutan Hari Guru Peringkat SK Sungai Sebatu, Baram 2014
 En Jeffley Jantan ak Kalang, Guru Besar SK Sungai Sebatu, Baram memberikan ucapannya.


En Wan Ahmad Firdaus membacakan perutusan Hari Guru 2014 oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.



En Raphael ak Paulus membacakan perutusan Hari Guru 2014 oleh Menteri Pelajaran Malaysia.  


Cikgu Ina bertindak selaku pengacara majlis. 

Persembahan murid SK Sungai Sebatu, Baram. 



Persembahan murid SK Sungai Sebatu, Baram. 

Disediakan oleh: Mohd Farhad Daud & Ziham Zawawi Mazlan
Foto oleh: Mohd Farhad Daud
Read More