Rabu, 12 November 2014

Spelling Bee Competition [12 November 2014]

Pada 12 November 2014, Panitia Bahasa Inggeris telah menganjurkan pertandingan “Spelling Bee” di peringkat Sekolah Kebangsaan Sungai Sebatu. Aktiviti di bawah anjuran Panitia Bahasa Inggeris ini bertujuan untuk meningkatkan penguasaan murid dalam matapelajaran Bahasa Inggeris, di samping memberi keyakinan dan peluang kepada mereka untuk menonjolkan bakat dalam sebarang pertandingan yang disertai. Pertandingan ini dijalankan di dalam kelas Tahun 6 sambil dikendalikan oleh guru-guru Bahasa Inggeris. Penglibatan pelajar dalam pertandingan ini amatlah menggalakkan.
Pertandingan yang pada asalnya dirancang untuk diadakan pada awal bulan Julai ini terpaksa ditangguhkan atas sebab kekangan masa. Sepanjang proses pertandingan dijalankan, murid-murid dinasihatkan untuk menjaga kelakuan masing-masing dan tidak membuang bising. Di awal pertandingan, Cikgu Farhad telah memberi sedikit penerangan mengenai peraturan bagi pertandingan ini.
Dalam pertandingan ini, dua kategori iaitu Tahap 1 dan Tahap 2 telah diwujudkan. Para peserta dikehendakki untuk mengambil tempat khas mereka yang terletak di bahagian hadapan kelas. Apabila nama mereka disebut, peserta yang berkenaan haruslah mengeja perkataan yang diberikan oleh guru. Setiap peserta diberikan masa selama 30 saat untuk mengeja setiap perkataan dan sesiapa yang gagal melakukanya akan dikira gagal. Setiap peserta juga akan diberikan 2 peluang untuk mengeja semula sekiranya mereka gagal untuk mengeja perkataan yang diberi dengan betul.
Selesai sesi penerangan, pertandingan dimulakan dengan para peserta dari Tahun 1, diikuti dengan murid Tahun 2 dan seterusnya Tahun 3. Dua orang murid dari setiap kelas yang mempunyai jumlah ejaan betul yang paling banyak akan layak untuk ke peringkat akhir. Selepas berakhirnya sesi bagi Tahap 1, pertandingan diteruskan pula dengan para murid dari Tahap 2. Peraturan yang sama masih dikekalkan dalam peringkat ini. Dalam peringkat akhir, murid-murid yang layak haruslah mengeja perkataan yang diberi dalam masa 20 saat sahaja. Murid yang berjaya mengeja perkataan dengan betul paling banyak akan dianggap sebagai pemenang.






Teks & foto: Mohd Farhad 
Read More

Jumaat, 17 Oktober 2014

Pertandingan Crossword Puzzle - Panitia BI [16 Okt 2014]



PENGENALAN







Pada 16 Oktober 2014, pertandingan “Crossword Puzzle” telah diadakan di peringkat Sekolah Kebangsaan Sungai Sebatu. Aktiviti di bawah anjuran Panitia Bahasa Inggeris ini menggalakkan penglibatan daripada murid-murid tahap 1 dan tahap 2. Pertandingan ini dijalankan di dalam kelas masing-masing dengan diawasi oleh guru Bahasa Inggeris kelas tersebut. Penglibatan pelajar dalam pertandingan ini amat menggalakkan.

OBJEKTIF
            Pertandingan ini dirancang khas untuk mencapai objektif-objektif yang tersebut:
1.    Pertandingan ini dianjurkan bertujuan untuk memperkayakan kosakata Bahasa Inggeris di kalangan murid-murid.
2.    Menarik minat murid untuk menyertai program berasaskan Bahasa Inggeris.
3.      Memberi murid pendedahan kepada struktur ayat Bahasa Inggeris di luar waktu PdP.




LAPORAN
Panitia Bahasa Inggeris SK Sungai Sebatu, Baram telah mengadakan satu pertandingan “Crossword Puzzle” pada hari Khamis bersamaan dengan tarikh 16 Oktober 2014, bertempat di bilik-bilik darjah. Pertandingan ini pada asalnya telah dirancang untuk dijalankan lebih awal lagi. Namun, atas faktor kekangan masa, pertandingan ini terpaksa ditangguh pada tarikh yang tersebut. Sewaktu hari pertandingan, semua murid dikehendakki untuk berada di kelas masing-masing. Pertandingan akan dijalankan pada waktu subjek Bahasa Inggeris mereka sambil diawasi oleh guru Bahasa Inggeris masing-masing. Pertandingan telah dibahagikan kepada dua peringkat iaitu peringkat Tahap 1 dan Tahap 2. Tahap 1 melibatkan jumlah murid seramai 7 orang murid manakala Tahap 2 pula merangkumi jumlah murid sebanyak 13 orang murid. Semasa pertandingan, guru subjek masing-masing dikehendakki untuk menerangkan tentang konsep “Crossword Puzzle” kepada murid-murid terlebih dahulu. Kemudian, barulah pertandingan dapat dijalankan dengan lancarnya.

KEPUTUSAN

TAHAP 1
TAHAP 2
JOHAN
Christina Tiung
Augustine Langgong
NAIB JOHAN
Graciecca Devung
Allson Remong
TEMPAT KETIGA
Xavier Muran
Jennifer Muntai.

PENUTUP
            Secara umumnya, pertandingan “Crossword Puzzle” peringkat SK Sungai Sebatu bagi tahun ini berjalan dengan lancar dan jayanya walaupun terdapat pelbagai kekangan yang terpaksa ditempuhi. Hasil kerjasama dan komitmen yang diberikan oleh setiap pihak, setiap masalah berjaya diatasi dengan jayanya. Akhir kata, sekalung penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada semua warga sekolah yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan pertandingan “Crossword Puzzle” peringkat SK Sungai Sebatu bagi tahun ini.

Teks & foto oleh Mohd Farhad
Ketua Panitia Bahasa Inggeris
Read More

Jumaat, 10 Oktober 2014

Pertandingan Mencipta Pantun

Secara keseruhannya program ini dianggap telah berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang. Program ini dapat berjalan lancar dengan adanya komitmen dan semangat kerjasama antara ahli jawatankuasa di samping sokongan dan dorongan daripada pihak pentadbiran sekolah. Objektif utama program ini dianjurkan dapat dicapai dengan jayanya. Melalui program ini, guru dapat mengetahui kebolehan dan bakat murid dalam menghasilkan bahan sastera dalam bahasa yang gramatis dan puitis.
Melalui program ini, guru dapat mnegenal pasti beberapa orang murid yang berbakat dalam penghasilan bahan sastera seperti pantun dalam penulisan mereka. Walau bagaimanapun, masih ramai murid yang lemah dalam kemahiran mencipta pantun. Oleh hal demikian, program ini telah memberi satu gambaran dan menjadi panduan kepada guru untuk merancang program dan aktiviti yang seterusnya pada masa akan datang sesuai dengan kebolehan dan keperluan semasa murid.
Program ini juga melatih murid untuk menggunakan kemahiran berfikir semaksimum yang mungkin dalam mencipta pantun. Mereka boleh mengaplikasikan ilmu yang dipelajari secara praktikal semasa pertandingan ini. Melalui program ini juga, dapat dilihat murid lebih berkeyakinan dalam menggunakan istilah-istilah yang dipelajari oleh mereka sama ada secara lisan mahupun tulisan. Diharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu murid meningkatkan kemahiran berbahasa terutamanya dalam Bahasa Malaysia.





Teks & foto: Nurkhairizuhana
Edit: Ziham Zawawi
Read More

Jumaat, 23 Mei 2014

Sambutan Hari Guru [23 Mei 2014]

Pada hari Jumaat, 23 Mei 2014 yang lalu, Sekolah Kebangsaan Sungai Sebatu tekah mengadakan sambutan hari guru peringkat sekolah bersempena dengan Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei 2014. Sambutan tersebut diadakan di kelas Tahun 6 dan padang sekolah.
Semua murid dan guru telah mula berkumpul di kelas Tahun 6 sejak dari pukul 8.00 pagi lagi. Majlis dimulai dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, Cik Khairizuhana. Ini diikuti dengan nyayian lagu Negaraku, lagu “Ibu Pertiwiku” dan lagu sekolah. Majlis diteruskan lagi dengan bacaan watikah Menteri Pelajaran Malaysia yang disampaikan oleh Encik Raphael Paulus. Seterusnya, Encik Wan Firdaus menyampaikan amanat daripada Ketua Pengarah Pelajaran. Majlis kemudiannya disambung dengan menjemput Tuan Guru Besar, En. Jeffley Jantan ak Kalang untuk menyampaikan ucapan dan amanat beliau. Dalam ucapannya, beliau menyatakan rasa terima kasih dan penghargaan kepada para guru dalam menjayakan misi sekolah dan membentuk murid-murid yang berjaya dari segi sahsiah, emosi, rohani dan jasmani. Beliau juga menasihatkan murid-murid untuk sentiasa mendengar arahan dan menghormati para guru. Ibu bapa juga dinasihatkan untuk terus memberi sokongan kepada para guru. Kemudiannya, En. Nyegang ak Ugoi, selaku Yang Dipertua PIBG telah dijemput bagi menyampaikan ucapan beliau. Beliau menasihatkan murid untuk terus berusaha bagi tidak mensia-siakan usaha keras para guru mereka.
Majlis kemudian digamatkan lagi dengan persembahan nyayian lagu “Kami Guru Malaysia” dan seterusnya bacaan ikrar Hari Guru yang diketuai oleh En. Ziham Zawawi. Murid-murid juga turut sama memeriahkan majlis dengan mempersembahkan beberapa buah lagu dan persembahan tarian. Tepat pukul 10.00 pagi, majlis ditangguhkan dan diteruskan dengan jamuan kecil untuk santapan para guru dan ibu bapa. Majlis disambung semula dengan acara sukaneka yang bermula pada pukul 10.30 pagi. Guru-guru dan murid-murid disarankan untuk berkumpul mengikut kumpulan rumah sukan masing-masing. Pelbagai acara seperti acara gelung bola, bola kangkang, timbang pundi kacang dan “running man” telah dijalankan. Suasana begitu meriah kerana para guru dan murid, masing-masing begitu bersemangat memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing. Acara turut dimeriahkan lagi dengan penglibatan Tuan Guru Besar, En. Jeffley Jantan. Majlis sambutan berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Majlis yang diadakan sebagai tanda penghargaan jasa para guru ini ternyata mendapat reaksi yang positif daripada para hadirin. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak kerana telah dapat menjayakan sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sungai Sebatu bagi sesi 2014 ini.

Gambar sekitar sambutan Hari Guru Peringkat SK Sungai Sebatu, Baram 2014
 En Jeffley Jantan ak Kalang, Guru Besar SK Sungai Sebatu, Baram memberikan ucapannya.


En Wan Ahmad Firdaus membacakan perutusan Hari Guru 2014 oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.



En Raphael ak Paulus membacakan perutusan Hari Guru 2014 oleh Menteri Pelajaran Malaysia.  


Cikgu Ina bertindak selaku pengacara majlis. 

Persembahan murid SK Sungai Sebatu, Baram. 



Persembahan murid SK Sungai Sebatu, Baram. 

Disediakan oleh: Mohd Farhad Daud & Ziham Zawawi Mazlan
Foto oleh: Mohd Farhad Daud
Read More

Selasa, 22 April 2014

HARI PENETAPAN TARGET [22 April 2014]

Sebagaimana dirancang, pada 22 April 2014 iaitu Selasa yang lalu, telah diadakan Hari Penetapan Target peringkat SK Sungai Sebatu bagi tahun 2014. Kehadiran ibu bapa begitu memberangsangkan. Kehadiran mereka diambil untuk tujuan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang perlu dikey in bila sistem berkaitan dibangunkan oleh KPM kelak. Guru Besar SK Sungai Sebatu, En. Jeffley Jantan, telah hadir memberikan sokongan dan menyampaikan ucapan. 
Guru Besar, En.Jeffley memberi taklimat mengenai program hari ini.

     En. Jeffley telah memberikan taklimat ringkas berkaitan Sarana Ibu bapa dan Sarana Sekolah kepada ibu bapa. Beliau juga mengambil kesempatan ini untuk membentangkan prestasi murid Tahun 6 sepanjang empat bulan pertama ini. Beliau seterusnya memberi sedikit taklimat ringkas berkaitan program-program kecemerlangan UPSR yang telah dirancang serta maklumat-maklumat penting setiap subjek peperiksaan termasuklah BM, BI, Sains dan Matematik.
Program diteruskan dengan bacaan ikrar oleh murid-murid Tahun 6 diketuai oleh adik Oliver Cakum. Ini diteruskan dengan bacaan ikrar daripada para guru diketuai oleh Encik Hafizi. Selebihnya mereka bertemu sendiri dengan guru-guru berkenaan sebaik selesai majlis. Bagi pihak ibu bapa, mereka dikehendakki menandatangani borang ikrar di hadapan para guru Tahun 6. Ibu bapa juga diberi peluang untuk membincangkan prestasi anak-anak mereka dengan guru-guru subjek bagi kelas Tahun 6.  

Guru-guru subjek Tahun 6 bersedia berkongsi maklumat dan nasihat dengan pihak ibu bapa mengenai anak-anak mereka.


Ibu bapa menandatangani borang ikrar di hadapan para guru Tahun 6.

Akhir kata, majlis yang bertujuan untuk memaklumkan dan memberi peluang kepada para ibu bapa membincangkan mengenai prestasi anak-anak mereka ternyata mendapat reaksi yang positif daripada para hadirin. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak kerana telah dapat menjayakan Hari Penetapan Target bagi sesi 2014 ini.
     Semoga prestasi UPSR tahun ini akan lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya berkat kerjasama yang ditunjukkan.


Disediakan oleh; 
EN. FARHAD BIN DAUD
KETUA BIRO MAKLUMAT
SK SUNGAI SEBATU BARAM
Read More

Isnin, 20 Januari 2014

Mesyuarat Agung PIBG 1/2014 [20 Januari 2014]

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-1 bagi sesi 2014 berjalan dengan lancar mengikut agenda yang telah ditetapkan. Tepat jam 7.30 malam, para ibu bapa telah mula berpusu-pusu memenuhi ruang ruai tuai rumah. Setelah para hadirin mula memenuhi ruang, jemputan kehormat iaitu Pengerusi PIBG, En. Nyegang Ak Ugoi, tuai rumah dan juga Guru Besar SK Sungai Sebatu, En. Jeffley Jantan pula tiba.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi PIBG, En. Nyegang ak Ugoi. Dalam ucapannya, beliau menasihatkan para ibu bapa untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada guru-guru dalam membentuk murid-murid yang cemerlang dari segi akademik dan juga sahsiah. Seterusnya, Tuan Guru Besar SK Sungai Sebatu, En. Jeffley Jantan, selaku penasihat PIBG memberi sedikit penerangan mengenai agenda-agenda sekolah bagi tahun 2014. Beliau menekankan aspek-aspek seperti misi dan visi sekolah, program PIBG bagi tahun 2014 dan juga program-program Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau juga sempat memperkenalkan tenaga-tenaga kerja di sekolah kepada penduduk setempat.
Berikutnya, Pn. Theresa selaku Bendahari PIBG membentangkan laporan kewangan PIBG. Majlis diteruskan lagi dengan hidangan juadah ringan kepada para hadirin. Majlis kemudiannya ditangguhkan pada jam 9.30 malam.

Majlis yang diadakan bertujuan khas untuk memaklumkan ibu bapa mengenai agenda-agenda sekolah bagi sesi 2014 ini ternyata mendapat reaksi yang positif daripada para hadirin. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak kerana telah dapat menjayakan Mesyuarat Agung PIBG bagi sesi 2014 ini.

Disediakan oleh: Mohd Farhad Daud
Ketua Biro Maklumat
Read More

Rabu, 1 Januari 2014

HARI PENDAFTARAN MURID TAHUN 1 [1 Januari 2014]


      Bertarikh 01 Januari 2014 (Rabu), pelaksanaan Hari Pendaftaran bagi murid tahun 1 sesi 2014 diadakan. Aktiviti yang bermula seawal jam 8.00 pagi tersebut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa yang turut menemani anak masing-masing ke sekolah. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Guru Besar, En. Jeffley Jantan.  Seterusnya, Cik Khairizuhana selaku ketua Program Transisi mengetuai pemberian taklimat tentang proses pengajaran-pembelajaran anak-anak mereka kepada ibu bapa. Ini diteruskan dengan sesi pengisian borang maklumat ibu bapa dan murid.

Cik Nurkhairizuhana selaku guru kelas Tahun 1 memberi taklimat ringkas kepada para ibu bapa.

    Pada hari tersebut, ibu bapa juga diserahkan buku teks yang akan digunakan oleh murid-murid pada sesi 2014. Segala perancangan yang direncanakan pada hari pendaftaran berjalan dengan jayanya.


Guru-guru bertungkus-lumus menyediakan buku-buku teks yang akan diserahkan kepada murid-murid Tahun 1.

       Majlis ini diadakan bertujuan untuk mewujudkan hubungan dua hala yang baik antara ibu bapa dan pihak sekolah. Ia juga diadakan sebagai usaha pihak sekolah mendapatkan maklum balas ibu bapa tentang persediaan yang sepatutnya mereka lakukan menjelang persekolahan anak-anak mereka pada tahun hadapan. Majlis ini turut digunakan sepenuhnya oleh pihak sekolah untuk menyampaikan informasi-informasi terbaharu tentang sesi persekolahan tahun hadapan.


     Sesi taklimat ini ternyata telah mendapat reaksi positif dari ibu bapa yang hadir. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak kerana telah dapat mengadakan program penerangan yang amat baik ini.

Disediakan oleh, 
EN. MOHD FARHAD BIN DAUD
KETUA BIRO MAKLUMAT
SK SUNGAI SEBATU BARAM
Read More