Isnin, 20 Januari 2014

Mesyuarat Agung PIBG 1/2014 [20 Januari 2014]

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-1 bagi sesi 2014 berjalan dengan lancar mengikut agenda yang telah ditetapkan. Tepat jam 7.30 malam, para ibu bapa telah mula berpusu-pusu memenuhi ruang ruai tuai rumah. Setelah para hadirin mula memenuhi ruang, jemputan kehormat iaitu Pengerusi PIBG, En. Nyegang Ak Ugoi, tuai rumah dan juga Guru Besar SK Sungai Sebatu, En. Jeffley Jantan pula tiba.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi PIBG, En. Nyegang ak Ugoi. Dalam ucapannya, beliau menasihatkan para ibu bapa untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada guru-guru dalam membentuk murid-murid yang cemerlang dari segi akademik dan juga sahsiah. Seterusnya, Tuan Guru Besar SK Sungai Sebatu, En. Jeffley Jantan, selaku penasihat PIBG memberi sedikit penerangan mengenai agenda-agenda sekolah bagi tahun 2014. Beliau menekankan aspek-aspek seperti misi dan visi sekolah, program PIBG bagi tahun 2014 dan juga program-program Kementerian Pelajaran Malaysia. Beliau juga sempat memperkenalkan tenaga-tenaga kerja di sekolah kepada penduduk setempat.
Berikutnya, Pn. Theresa selaku Bendahari PIBG membentangkan laporan kewangan PIBG. Majlis diteruskan lagi dengan hidangan juadah ringan kepada para hadirin. Majlis kemudiannya ditangguhkan pada jam 9.30 malam.

Majlis yang diadakan bertujuan khas untuk memaklumkan ibu bapa mengenai agenda-agenda sekolah bagi sesi 2014 ini ternyata mendapat reaksi yang positif daripada para hadirin. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak kerana telah dapat menjayakan Mesyuarat Agung PIBG bagi sesi 2014 ini.

Disediakan oleh: Mohd Farhad Daud
Ketua Biro Maklumat
Read More

Rabu, 1 Januari 2014

HARI PENDAFTARAN MURID TAHUN 1 [1 Januari 2014]


      Bertarikh 01 Januari 2014 (Rabu), pelaksanaan Hari Pendaftaran bagi murid tahun 1 sesi 2014 diadakan. Aktiviti yang bermula seawal jam 8.00 pagi tersebut dimeriahkan dengan kehadiran ibu bapa yang turut menemani anak masing-masing ke sekolah. Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Guru Besar, En. Jeffley Jantan.  Seterusnya, Cik Khairizuhana selaku ketua Program Transisi mengetuai pemberian taklimat tentang proses pengajaran-pembelajaran anak-anak mereka kepada ibu bapa. Ini diteruskan dengan sesi pengisian borang maklumat ibu bapa dan murid.

Cik Nurkhairizuhana selaku guru kelas Tahun 1 memberi taklimat ringkas kepada para ibu bapa.

    Pada hari tersebut, ibu bapa juga diserahkan buku teks yang akan digunakan oleh murid-murid pada sesi 2014. Segala perancangan yang direncanakan pada hari pendaftaran berjalan dengan jayanya.


Guru-guru bertungkus-lumus menyediakan buku-buku teks yang akan diserahkan kepada murid-murid Tahun 1.

       Majlis ini diadakan bertujuan untuk mewujudkan hubungan dua hala yang baik antara ibu bapa dan pihak sekolah. Ia juga diadakan sebagai usaha pihak sekolah mendapatkan maklum balas ibu bapa tentang persediaan yang sepatutnya mereka lakukan menjelang persekolahan anak-anak mereka pada tahun hadapan. Majlis ini turut digunakan sepenuhnya oleh pihak sekolah untuk menyampaikan informasi-informasi terbaharu tentang sesi persekolahan tahun hadapan.


     Sesi taklimat ini ternyata telah mendapat reaksi positif dari ibu bapa yang hadir. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak kerana telah dapat mengadakan program penerangan yang amat baik ini.

Disediakan oleh, 
EN. MOHD FARHAD BIN DAUD
KETUA BIRO MAKLUMAT
SK SUNGAI SEBATU BARAM
Read More