Pada 12 November 2014, Panitia Bahasa Inggeris
telah menganjurkan pertandingan “Spelling Bee” di peringkat Sekolah Kebangsaan
Sungai Sebatu. Aktiviti di bawah anjuran Panitia Bahasa Inggeris ini bertujuan
untuk meningkatkan penguasaan murid dalam matapelajaran Bahasa Inggeris, di
samping memberi keyakinan dan peluang kepada mereka untuk menonjolkan bakat
dalam sebarang pertandingan yang disertai. Pertandingan ini dijalankan di dalam
kelas Tahun 6 sambil dikendalikan oleh guru-guru Bahasa Inggeris. Penglibatan
pelajar dalam pertandingan ini amatlah menggalakkan.
Pertandingan yang pada asalnya dirancang untuk
diadakan pada awal bulan Julai ini terpaksa ditangguhkan atas sebab kekangan
masa. Sepanjang proses pertandingan dijalankan, murid-murid dinasihatkan untuk
menjaga kelakuan masing-masing dan tidak membuang bising. Di awal pertandingan,
Cikgu Farhad telah memberi sedikit penerangan mengenai peraturan bagi
pertandingan ini.
Dalam pertandingan ini, dua kategori iaitu
Tahap 1 dan Tahap 2 telah diwujudkan. Para peserta dikehendakki untuk mengambil
tempat khas mereka yang terletak di bahagian hadapan kelas. Apabila nama mereka
disebut, peserta yang berkenaan haruslah mengeja perkataan yang diberikan oleh
guru. Setiap peserta diberikan masa selama 30 saat untuk mengeja setiap
perkataan dan sesiapa yang gagal melakukanya akan dikira gagal. Setiap peserta
juga akan diberikan 2 peluang untuk mengeja semula sekiranya mereka gagal untuk
mengeja perkataan yang diberi dengan betul.
Selesai sesi penerangan, pertandingan dimulakan dengan para peserta dari
Tahun 1, diikuti dengan murid Tahun 2 dan seterusnya Tahun 3. Dua orang murid
dari setiap kelas yang mempunyai jumlah ejaan betul yang paling banyak akan
layak untuk ke peringkat akhir. Selepas berakhirnya sesi bagi Tahap 1,
pertandingan diteruskan pula dengan para murid dari Tahap 2. Peraturan yang
sama masih dikekalkan dalam peringkat ini. Dalam peringkat akhir, murid-murid
yang layak haruslah mengeja perkataan yang diberi dalam masa 20 saat sahaja.
Murid yang berjaya mengeja perkataan dengan betul paling banyak akan dianggap
sebagai pemenang.
Teks & foto: Mohd Farhad